topbella

Friday, April 29, 2011

Laporan BIG sem 1

REFLEKSI
Tarikh/Hari    : 22 Februari 2011
Masa              : 2.00 petang
Aktiviti                        : Taklimat, penyediaan tapak dan mendirikan khemah
Aktiviti pada petang itu lebih menfokuskan kepada sesi pemberitahuan peraturan kem kepada peserta-peserta BIG. Majlis tersebut berlangsung pada pukul 2.00 petang. Sebelum sesi taklimat dijalankan En. Mohd Nizam turut menyuruh kami semua beratur mengikut kelas masing-masing bagi memudahkan proses pemeriksaan kehadiran pelajar dari setiap kelas. Majlis pada petang itu telah dikendalikan oleh Kem Komandan BIG siri 1, ustaz Zakaria bin Nasirudin dengan memberikan taklimat ringkas mengenai perjalanan program BIG pada kali ini. Selesai sahaja aktiviti taklimat, aktiviti diteruskan dengan aktiviti mendirikan khemah yang diketuai oleh En. nizam iaitu selaku fasilitator Kem BIG kali ini. En Nizam telah membuat demonstrasi tentang cara yang betul untuk mendirikan khemah. 
Aktiviti ini dilakukan adalah bertujuan untuk memberitahu tentang apa yang tidak patut dilakukan dan yang patut dilakukan sepanjang perkhemahan ini. Aktiviti ini juga bertujuan untuk memberi ilmu yang betul tentang cara mendirikan khemah. Bagi saya, aktiviti ini dengan ialah suatu proses di mana memberi saya kesedaran bahawa dalam apa jua aktiviti yang kita lakukan, kita tidak boleh lari dengan undang-undang dan peraturan. Ini supaya kita menjadi seorang yang berdisiplin dan mampu melalui sesi perkhemahan ini dengan jayanya tanpa sebarang masalah.
Antara perkara baru yang saya pelajari sepanjang aktiviti ini ialah bagaimana untuk mendirikan khemah dengan cara yang betul seperti dalam perkehemahan ini dan bagaimanakah untuk mewujudkan kerjasama dalam kumpulan ketika mendirikan khemah dengan betul dan teratur.
Dari segi penambahbaikan pula, saya berpendapat bahawa setiap individu haruslah lebih fokus apabila diberi taklimat mengenai sesuatu aktiviti supaya mereka jelas mengenai sesuatu perkara dan masalah tidak lagi timbul sepanjang aktiviti berlangsung. Sekiranya kita tidak menumpukan perhatian sepenuhnya semasa sesi taklimat berlangsung, kemungkinan besar akan menyebabkan timbulnya masalah-masalah yang tidak diingini ketika program berlangsung. Oleh itu, saya berpendapat bahawa sesi taklimat merupakan sesi yang sangat penting bagi sesuatu program kerana daripada sesi tersebutlah setiap peserta akan dapat mengetahui jalan perjalanan yang akan berlaku bagi sesuatu program.




















Tarikh : 22 Februari 2011
Masa  : 5.30 petang
Aktiviti            : Kawad Kaki
Sebagai satu aktiviti riadah perkhemahan BIG, kawad kaki telah dijalankan di mana semua peserta diwajibkan untuk kawad. Kawad kaki tersebut telah diketuai oleh Tuan Haji Zakaria sebagai Prep Komandon. Bagi saya, kawad kaki bukanlah sesuatu yang baru kerana saya telah menyertai kawad kaki semasa di sekolah menengah lagi iaitu di dalam Pasukan Kadet Remaja Sekolah (KRS). Oleh sebab itu, saya telah mengetahui tentang asas-asas kawad. Walaubagaimanapun, ramai juga antara peserta yang tidak tahu langsung asas kawad.
Aktiviti ini dilakukan adalah bertujuan untuk mendisiplinkan diri para peserta. Seperti yang dapat dilihat dalam kawad kaki, seorang komandan akan memberi arahan dan skuad perlulah mengikut arahan tersebut. Malah dalam kawad juga skuad tidak dibenarkan bergerak sesuka hati sebaliknya menjadi tegas dan megikut arahan.
Pada pandangan saya, aktiviti kawad sangat menyeronokkan lebih-lebih lagi jika terdapat keserasian semasa berkawad dari aspek hentakan dan ayunan tangan. Saya juga pernah menyertai pertandingan kawad kaki semasa di sekolah menengah dan berjaya memperoleh tempat ketiga.
Antara perkara baru yang saya pelajari ialah kita perlu menjadi seorang yang peka dan berdisiplin dalam setiap pekerjaan terutama dalam bidang keguruan. Ini kerana kita akan melakukan kesilapan jika kita lalai atau tidak berdisiplin. Ini saya perolehi semasa aktiviti kawad kaki di mana apabila ketua komandon memberi arahan, pastikan arahan itu betul baru bertindak supaya kita tidak tersilap dan ini menunjukkan yang kita seorang yang tidak peka.
Dari segi penambahbaikan, saya akan terus meningkatkan kemahiran dalam kawad kaki kerana bagi saya aktiviti ini bukan sahaja untuk riadah tetapi untuk mendisiplinkan diri. Semasa perkhemahan cadangan saya agar dipecahkan peserta kepada kumpulan yang lebih kecil dan peserta yang sudah mahir kawad menjadi prep komandon membantu Tuan Haji Zakaria agar pengajaran akan menjadi lebih berkesan.
Tarikh : 22 Februari 2011
Masa : 6.00 petang
Aktiviti: Pengurusan diri, tazkirah dan moral 1
Aktiviti yang ditetapkan pada waktu ini memberi peluang kepada setiap peserta untuk melatih diri mereka mematuhi masa. Kami diberi waktu selama satu jam untuk mempersiapkan diri sebelum menunaikan solat maghrib dan makan malam. Selepas menunaikan solat Maghrib secara berjemaah, peserta yang beragama Islam akan dikehendaki mendengar tazkirah yang akan disampaikan oleh salah seorang daripada peserta kem tersebut manakala pelajar cina pula akan dikehendaki mendengar ceramah moral.
Kami telah dilatih untuk mematuhi masa yang diberikan supaya kami dapat membentuk jati diri yang baik disamping membina disiplin diri yang unggul. Saya telah diberi peluang untuk menjadi insan pertama yang memberi tazkirah yang bertajuk “jamak dan Qasar” bagi peserta kem ini. Setelah diteliti kembali, saya mula dapat mengenalpasti kekuatan dan kelemahan saya dalam memberi tazkirah ketika kem tersebut. Slot ini berlangsung setiap hari kem tersebut dijalankan setelah selesai solat maghrib berjemaah.
Antara kekuatan yang saya miliki ialah, saya mempunyai ilmu dan kefahaman asas mengenai tajuk tazkirah yang dibincangkan itu. Saya mempunyai keyakinan diri yang cukup ketika membentangkan tazkirah tersebut kerana saya telah berjumpa dengan ustaz zakaria bagi membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan tajuk tersebut sebelum memberi tazkirah kepada peserta yang lain. Dengan tunjuk ajar yang telah diberikan oleh beliau, saya menjadi lebih berani untuk ke depan dan berkongsi ilmu pengetahuan yang saya miliki mengenai tajuk tersebut kepada peserta-peserta yang lain.
Antara kelemahan saya pula ialah, saya mempunyai ilmu pengetahuan yang kurang mengenai tajuk yang saya bentangkan itu. Ini menyebabkan saya tidak dapat mejawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh pendengar dengan baik. Selain itu, pengalaman yang kurang juga menyebabkan saya menjadi agak kekok ketika memberikan tazkirah tersebut pada awalnya.
Kelemahan dan kekuatan tersebut menjadi pemangkin kepada diri saya untuk mencari jalan penyelesaian bagi menghasilkan satu tazkirah yang lebih mantap pada masa akan datang. Saya mula membina jati diri ekoran daripada pengalaman menyampaikan tazkirah dalam kem tersebut.
Antara ilmu baru yang saya perolehi daripada sesi tazkirah tersebut ialah, saya mula mengetahui bahawa terdapat jamak yang dinamakan “jamak Tamam” di mana seseorang boleh melakukan solat jamak walaupun tidak bermusafir sejauh dua marhalah sekiranya berada dalam situasi darurat. Saya juga mendapat ilmu baru mengenai cara untuk menunaikan solat jamak secara betul dan lengkap. Selain itu, perkara baru yang saya pelajari ialah agar sentiasa menjaga solat kita dan rupa-rupanya kita hanya perlu berniat sahaja semasa solat dan tidak semestinya menghafal niat yang panjang dan melafazkannya semasa takbirraturrihram.
Tujuan saya lakukan aktiviti ini adalah untuk memantap dan mengukuhan ilmu dan rohani. Tajuk yang disampaikan amat penting bagi saya terutama jika saya bermusafir dan kerana telah memahami konsep jamak dan qasar, saya mungkin tiada masalah dalam perjalanan.
Pada pendapat saya, slot ini amat penting terutama kepada umat Islam kerana ianya satu kemudahan yang Allah sediakan agar walau di mana atau bagaimana keadaan kita, solat tidak boleh ditinggalkan secara sengaja.
Dari segi penambahbaikan, slot ini wajar diteruskan sebagai santapan rohani supaya peserta tidak hanya leka kepada aktiviti dunia dan melupakan yang akhirat. Saya akan cuba aplikasikan apa yang diterangkan oleh diri saya sendiri dalam tazkirah yang saya berikan. Secara kesimpulannya, saya mendapati bahawa sesi pengurusan diri dan tazkirah 1 ini merupakan satu alternatif yang berkesan dalam membentuk jati diri yang baik serta memberi peluang kepada setiap peserta untuk lebih berani menonjol ke hadapan dalam menyampaikan setiap ilmu yang mereka miliki.



Tarikh : 23 Februari 2011
Masa  : 9.00 Malam
Aktiviti : LDK 1

Slot LDK 1 ini telah dikendalikan sepenuhnya oleh En Nizam. Pada awalnya, kami dikehendaki beratur mengikut kelas masing-masing dan kemudiannya beratur dalam keadaan bertiga-tiga. Selepas itu, kami berkawad dan membentuk satu formasi yang mantap, teratur serta berdisiplin.
Slot itu diteruskan dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang menarik seperti menangkap rakan yang memakai cermin mata, mencari rakan yang mempunyai tarikh lahir yang sama dengan peserta dan lain-lain lagi. Aktiviti-aktiviti tersebut secara tidak langsung telah menghilangkan tekanan dalam diri setiap peserta yang telah penat menguruskan beberapa kerja yang meletihkan pada hari tersebut.
Melalui LDK ini, saya mula meyedari bahawa setiap manusia perlu ada masa untuk berhibur. Kita tidak boleh hanya memfokuskan diri kepada bidang kerja dan pelajaran sahaja kerana tindakan tersebut akan membuatkan kita hilang punca dan menjadi tertekan. Oleh itu, sekali-sekala kita perlulah melakukan aktiviti yang boleh menghiburkan diri kita sendiri supaya kita dapat menghilangkan segala tekanan yang ada dalam diri kita seterusnya menjadi insan yang gembira dalam kehidupan.








Tarikh : 23 Februari 2011
Masa  : 6.00 pagi
Aktiviti : solat subuh berjemaah dan tazkirah 2

Slot ini merupakan slot tazkirah yang kedua bagi kem tersebut. Slot ini berlangsung setiap hari kem tersebut dijalankan setelah selesai solat subuh berjemaah. Tazkirah tersebut bertajuk cara menentukan arah kiblat dan telah disampaikan oleh saudara Mohammad Azahari bin Abdullah dari unit J17 yang juga merupakan rakan sekelas saya. Menerusi slot tersebut, saya dapat mengenalpasti kekuatan dan kelemahan yang ada pada pentazkirah dalam penyampaiannya.
Antara kekuatan yang ada pada diri pentazkirah tersebut ialah, dia mempunyai keberanian untuk kehadapan dan juga pandai dalam menyusun penerangan. Namun demikian, kelemahan yang dia miliki ialah, dia tidak mempunyai pengetahuan yang luas dalam tajuk yang disampaikan. Ini menyebabkan dia menjadi agak gelisah di hadapan ketika membentangkan tajuk tersebut.
Dia juga kelihatan kurang keyakinan diri ketika diajukan soalan oleh peserta. Mujurlah ustaz Zakaria yang ada ketika itu membantu pentazkirah tersebut dengan memberi penjelasan yang lebih lanjut mengenai tajuk yang dibentangkan. Antara ilmu baru yang saya perolehi daripada slot ini ialah, saya mula mengetahui bagaimana cara penentuan arah kiblat dijalankan mengikut negeri masing-masing.
Sebagai kesimpulannya, saya menyedari bahawa kita haruslah menguasai pelbagai cabang ilmu walaupun kita tidak pernah mempelajarinya sebelum ini kerana setiap ilmu yang kita pelajari itu pasti akan memberi manfaat kepada diri kita pada masa yang akan datang.




Tarikh : 23 Februari 2011
Masa  : 7.30 pagi
Aktiviti : Malaysia cergas, menaikkan bendera, lagu institut, patriotik dan negaraku

Setelah selesai kuliah Subuh setiap hari, kami diberi sedikit waktu untuk bersiap sebelum meneruskan aktiviti Malaysia cergas. Dalam aktiviti tersebut, kami telah dilatih untuk melakukan senaman ringan pada waktu pagi. Aktiviti ini dijalankan setiap hari pada waktu yang sama bagi memastikan setiap peserta melakukan senaman yang secukupnya untuk kebaikan diri mereka.
Setelah senaman ringan dilakukan, para peserta dikehendaki menyanyikan lagu Negaraku, lagu negeri Perak dan juga lagu IPG kampus Ipoh. Setiap peserta dikehendaki menyanyikan lagu tersebut dengan penuh semangat. Apa yang saya dapat lihat di sini ialah, aktiviti pada slot ini sebenarnya bertujuaan untuk menerapkan semangat patriotisme dalam diri setiap peserta supaya mereka menjadi seorang insan yang cinta akan tanah air dan sanggup berkorban demi melindunginya.
Secara kesimpulannya, aktiviti pada slot ini sebenarnya amat berkesan dalam menghilangkan tekanan yang ada dalam diri setiap peserta kerana ianya lebih banyak melakukan aktiviti yang berunsur hiburan berbanding aktiviti-aktiviti dalam slot yang lain.







Tarikh : 23 Februari 2011
Masa  : 8.00 pagi
Aktiviti : Aktiviti air

Saya telah berpeluang melakukan aktiviti air yang telah dikendalikan oleh dua orang pensyarah dari unit PJK. Aktiviti ini telah dilakukan di kolam renang perak dan kami bertolak dari institut dengan menaiki sebuah bas. Semasa di Kolam renang, pensyarah pengiring telah terlebih dahulu memberikan taklimat tentang aktiviti yang bakal kami lakukan. Selesai kudapan pagi, aktiviti sesi 1 dimulakan iaitu saya telah melakukan aktiviti yang dinamakan “water condfident” di mana saya diminta turun ke dalam air dan disuruh melakukan beberapa pergerakan secara berpasangan. Kemudian, saya telah melakukan aktiviti renang dari persisir pantai dan mengelilingi bot yang berada sejauh 50 meter dan kembali ke pantai. Kira-kira pukul 12 tengahari, aktiviti sesi kedua dijalankan iaitu aktiviti menyelamat. Dalam aktiviti ini kami telah diajar cara menyelamat di air menggunakan kayu dan tali. Aktiviti lebih menarik lagi apabila kami dibahagikan kepada 3 kumpulan yang akan melakukan aktiviti perlumbaan kuak lentang. Aktiviti tamat kira-kira 11.30 tengah hari.
Aktiviti seperti “water confident” adalah penting kerana melalui aktiviti ini akan dapat memberi keyakinan kepada seseorang semasa di dalam laut. Oleh sebab itu, aktiviti ini dilakukan terlebih dahulu oleh perenang sebelum mereka berenang. Manakala aktiviti menyelamat pula adalah satu bonus kepada saya kerana berpeluang mempelajari teknik yang betul untuk menyelamat menggunakan kayu dan tali. Ini penting kerana kita mungkin tidak pandai berenang tetapi kita boleh menyelamat dari pantai menggunakan tali atau kayu. Dan membuat istana pasir juga ada tujuannya iaitu untuk menguji daya kreativiti dan semangat berpasukan dalam menyiapkan tugasan.
Pada pendapat saya, aktiviti ini sangat berguna dan menyeronokkan. Semasa aktiviti ini selain dapat mengurangkan stres saya juga dapat mengetahui asas dan teknik berenang yang betul.
Antara pengalaman baru yang saya perolehi sepanjang aktiviti air ialah dapat belajar cara berenang, cara memakai jaket keselamatan dengan betul dan teknik-teknik menyelamat mangsa di air. Lebih penting saya juga diajar tentang cara untuk mengendalikan aktiviti bersama anak-anak murid kelak apabila ingin melakukan aktiviti air iaitu dari aspek keselamatan dan kawalan pelajar.
Diharapkan aktiviti ini dapat diteruskan dan jika boleh dipelbagaikan aktiviti seperti berkayak atau berakit adalah begitu baik kerana melaluinya juga kita dapat melatih semangat berpasukan dan memperoleh ilmu baru untuk diaplikasikan.

















Tarikh : 23 Februari 2011
Masa  : 2.00 petang
Aktiviti : Pembinaan jati diri 1

Slot ini telah dikendalikan oleh En Amir bin Hamzah selaku pengganti tutor saya yang tidak dapat menghadirkan diri kerana mempunyai urusan lain dan kelas saya.setiap kelas dikehendaki mengikut tuor masing-masing untuk melaksanakan aktiviti ini. Slot ini merupakan renteten kepada LDK 1, di mana kelas saya masih dikehendaki membincangkan “Nilai-nilai Murni  Yang Perlu Ada Pada Seseorang Guru”. Selepas itu, kami beralih kepada topik lain iaitu perbincangan isu-isu semasa. Ramai yang begitu teruja mengeluarkan pendapat antara yang popular ialah isu-isu yang terdapat dalam IPG.
Saya melakukan aktiviti ini untuk mengasah dan membuka minda agar sedar akan keadaan negara sekarang ini terutama dalam bidang pendidikan. Sebagai bakal guru, ini penting agar kita tidak dilabel guru yang pasif. Pada pemikiran saya, sebagai bakal pendidik isu-isu seperti ini harus tidak dipandang ringan oleh kita kerana zaman kini para belia dan mahasiswa yang mencorakkan kemajuan negara.
Banyak perkara baru yang saya perolehi sepanjang slot ini terutamanya berkaitan dengan isu-isu masa kini yang melibatkan bidang pendidikan. Terdapat juga input baru yang saya perolehi daripada pendapat orang lain hasil pembacaannya. Contohnya, berkenaan dengan pendapat mengenai berjuang di atas nama bangsa dan seharusnya berjuang atas nama Islam adalah jalan terbaik kerana kita tidak mampu menjadikan kaum lain menjadi Melayu tetapi kaum lain boleh menjadi Islam.
Dari segi penambahbaikan, slot ini di masa hadapan boleh dipanjangkan untuk memberi peluang kepada semua orang member pendapat dan berkongsi ilmu. Kerana perbincangan seperti ini sebenarnya membuka minda kita.



Tarikh : 23 Februari 2011
Masa  : 9.00 Malam
Aktiviti : Pembinaan jati diri 2

Aktiviti berkisar tentang perbincangan tentang cerita “Beruk”. Kami dibahagikan kepada kumpulan dan setiap kumpulan perlu menganalisis cerita tersebut mengikut tajuk yang berbeza bagi setiap kumpulan. Kumpulan saya perlu menganalisis berkenaan kompetensi emosi.
Pada mulanya, kami dikehendaki mendengar sebuah cerpen bertajuk “beruk” yang disampaikan oleh saudara Ammar. Kisah itu menceritakan pengorbanan seorang murid yang mencari rezeki untuk keluarganya dengan menggunakan bantuan seekor beruk tapi akhirnya dia terpaksa mengorbankan beruk tersebut demi keselamatan gurunya yang tersayang.
Selepas mendengar cerpen tersebut, kami dikehendaki membincang mengenai profesionalisme keguruan yang terdapat dalam cerpen tersebut. Pada pandangan saya, aktiviti ini dilakukan adalah bertujuan untuk memberi pengetahuan kepada kami tentang nilai-nilai murni yang perlu ada pada seseorang guru dan apakah kepentingan nilai-nilai tersebut supaya dapat diaplikasikan apabila berada di sekolah kelak. Ini sebenarnya untuk melatih saya berfikir secara kritis apabila diberikan suatu topik. Aktiviti ini dilakukan untuk menguji tahap sesorang itu menterjemah sesbuah cerita dan mencari maksud tersirat dsebalik cerita tersebut sambil mengaitkannya dengan diri sendiri.
Kaitannya dengan diri saya ialah cerita tersebut berkisarkan tentang kisah seorang guru dan anak murid. Banyak mesej yang dibawa dalam cerita tersebut dan ada yang boleh diambil sebagai contoh teladan dan ada yang boleh dijadikan sempadan dalam profesion keguruan khususnya.
Pada pendapat saya, aktiviti ini mampu membuka minda dan menjana pemikiran untuk kita menilai tugas seorang guru terhadap anak muridnya.
Antara ilmu baru yang saya dapati ialah seorang guru perlulah berani berkorban untuk kepantingan anak muridnya kerana jika kita berbuat demikian anak murid kita seribu kali lebih sanggup berkorban untuk guru mereka kerana rasa hormat akan gurunya itu.
Aktiviti ini sebenarnya sangat berkaitan dengan saya sebagai bakal guru. Aktiviti lebih menekankan tentang bagaimana nilai-nilai murni yang perlu ada pada seorang guru. Ini penting kerana saya vakal bergelar seorang guru dan ini boleh menjadi garis panduan dalam usaha untuk menjadi guru yang mempunyai pekerti yang baik dan berketrampilan.
Dari segi penambahbaikan, slot ini boleh diubah dengan mengadakan sketsa ringkas berdasarkan cerita itu agar lebih menceriakan dan sesuai dengan keadaan waktu malam.














Tarikh : 24 Februari 2011
Masa  : 8.00 pagi
Aktiviti            : Kembara
Aktiviti Kembara yang diketuai oleh Tuan Haji Zakaria telah djalankan dan setiap peserta dikehendaki mengembara mengikut unit. Setiap unit dibekalkan peralatan seperti botol air dan peti pertolongan cemas. Setiap unit perlu mencari stesen masing-masing di dalam hutan dan di dalam perjalanan peserta perlu mengambil bungkusan yang telah dilabel mengikut nombor unit  masing-masing dan dalam bungkusan tersebut terdapat barangan seperti makanan dan soalan yang perlu dijawab. Kami perlu mengambil barangan tersebut dan di bawa ke suatu tempat untuk memasak. Didalam perjalanan ke tempat tersebut kami perlu terlebih dahulu membersihkan dan mencantikkan stesen masing-masing. Kami telah berjaya memasak mee segera dalam tempoh yang paling cepat berbanding peserta dari kelas lain.
Saya lakukan aktiviti ini adalah bertujuan untuk meningkatkan tahap keyakinan peserta di dalam hutan selain memupuk semangat setiakawan. Pada pandangan saya, sebagai seorang guru kita tidak seharusnya menfokuskan urusan di dalam bilik darjah sahaja tetapi seorang guru juga perlu aktif dengan aktiviti luar supaya menjadi guru yang seimbang.
Ilmu baru yang saya perolehi ialah tentang mengenal tumbuhan hutan, mambaca bearing kompas, memasak di dalam hutan dan membuat usungan. Kesemua ini penting dan seharusnya dikuasai oleh para guru jika mahu mengadakan aktiviti hutan. Penambahbaikan ialah, aktiviti ini wajar diteruskan dan disesuaikan mengikut keadaan. Pertambahan aktiviti adalah lebih menyeronokkan.





Tarikh : 24 Februari 2011
Masa  : 2.00 petang
Aktiviti            : Pembinaan Jati Diri 2

Slot ini telah dikendalikan sepenuhnya oleh tutor kelas masing-masing. Bagi sslot pembinaan jati diri 2 pula, kami lebih memfokuskan kepada aktiviti yang berbentuk perbincangan ilmiah antara peserta dengan tutor masing-masing.
Antara perbincangan yang berlaku ialah mengenai penerapan nila-nilai murni yang sepatutnya ada dalam diri setiap guru dan langkah-langkah efektif dalam melahirkan seorang guru yang unggul dan berketrampilan.
Bagi saya, slot ini telah banyak memberikan ilmu yang baru kepada saya di mana saya menjadi lebih terbuka untuk menerima pendapat orang lain yntuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian saya selaku seorang bakal guru.
Antara penambahbaikan yang perlu dilakukan ialah, masa untuk slot ini haruslah dipanjangkan lagi kerana masa yang terlalu singkat tidak menjamin skop perbincangan yang meluas. Oleh itu, saya berharap agar segala nasihat dan teguran yang saya terima dalam slot ini akan dapat membina jati diri yang unggul dalam diri saya supaya saya dapat mejadi seorang guru yang unggul pada masa akan datang.








Tarikh : 24 Februari 2011
Masa  : 9.00 malam
Aktiviti            : Persembahan Kebudayaan

Persembahan Kebudayaan telah diwajibkan penyertaan kepada semua unit dan persembahan adalah berdasarkan tema yang telah disediakan. Tema yang ditetapkan pada malam itu ialah pendidikan dan musikal. Pada malam itu, persembahan adalah begitu mantap oleh kesemua unit namun unit J17 telah menjuarai persembahan pada malam itu, Persembahan daripada unit kami ialah persembahan drama musikal. Para juri terdiri daripada tiga orang.
Persembahan Kebudayaan diadakan dengan tujuan untuk mencungkil bakat-bakat yang terpendam dan daya kreativiti para peserta BIG. Kaitannya dengan saya ialah sebagai guru kita perlu juga mengetahui cara-cara untuk mengendalikan persembahan kebudayaan apabila di sekolah nanti agar kita menjadi guru yang aktif dan disenangi. Kita juga senang didekati jika mempunyai pemikiran yang kreatif.
Ilmu baru yang saya dapati ialah setiap perkara yang kita lakukan perlulah mempunyai sebab dan mesej tertentu bukan sekadar seronok atau semangat semata-mata sepertimana dalam persembahan perlu ada mesej tersirat agar persembahan kita lebih bermanfaat.
Penambahbaikan ialah, persembahan daripada wakil pensyarah juga seharusnya ada bagi merapatkan ukhwah antara pelatih dan pensyarah.






Tarikh : 25 Februari 2011
Masa  : 8.00 pagi
Aktiviti            : Refleksi Rumusan
Sebelum bersurai, semua peserta dikehendaki merumuskan tentang aktiviti BIG selama 4 hari tersebut. Setiap wakil kelas telah menyampaikan refleksi tentang program tersebut dari segi kelebihan dan kekurangan. Selain itu, segala permasalahan yang timbul semasa program telah diselesaikan di waktu itu juga.
Refleksi ini penting agar peserta sedar bahawa mereka bukannya datang dengan sia-sia tanpa sebarang manfaat. Ini juga peluang untuk penambahbaikan dari aspek pengurusan di masa hadapan.
Kaitannya dengan saya ialah saya berpeluang menyuarakan pendapat melalui wakil kelas tentang program ini dan cara penyelesaian dalam sesuatu permasalahan.
Ilmu baru yang saya dapati ialah kita janganlah bertindak mengikut emosi sebaliknya siasat dan kaji terlebih dahulu sesuatu perkara itu supaya masalah seperti menuduh orang lain dan menyebabkan masing-masing terasa hati tidak wujud.
Dari segi penambahbaikan, sesi ini perlu diadakan setiap kali berlangsungnya sesuatu program dan jika boleh dipanjangkan masanya agar semua boleh menyuarakan pendapat.








Tarikh : 25 Februari 2011
Masa  : 11.00 pagi
Aktiviti            : Perasmian penutup

Perasmian penutup merupakan slot terakhir bagi Kem ini. Perasmian dilakukan oleh Tuan Haji Abdul Kadir bin Basiran, Pengarah IPG kampus Ipoh. Dalam ucapan perasmiannya, beliau mengingatkan setiap peserta supaya lebih aktif dalam melakukan sesuatu perkara.
Beliau juga berharap agar setiap peserta kem kali ini dapat mengaplikasikan segala ilmu yang kami perolehi untuk kegunaan masa akan datang. Antara ilmu baru yang saya perolehi dari slot ini ialah, kita mesti menghargai setiap saranan dan nasihat yang diberikan oleh orang lain kepada kita agar menjadi seorang insan yang berguna dan sedia untuk melakukan perubahan pada masa akan datang.
Penambahbaikan yang perlu dilakukan ialah dengan memastikan bahawa ucapan perasmian mestilah padat dan efektif kerana ucapan perasmian yang terlalu panjang mungkin akan membuatkan peserta menjadi bosan dan mengantuk.