topbella

Friday, December 31, 2010

PPISMP SEM 3 - PENGAJIAN ISLAM ( ULUM HADIS )

Pengenalan

Sesungguhnya ilmu hadis merupakan salah satu cabang ilmu yang diwarisi daripada ulamak-ulamak silam. Ilmu hadis yang tersedia ada sekarang sebenarnya telah melalui beberapa peringkat sehinggalah ianya menjadi satu cabang ilmu yang unik dalam islam. Jika diperhatikan dengan teliti, kita dapati sejarah perkembangan ilmu hadis merupakan satu gambaran praktikal bagaimana Allah S.W.T menjaga kalam suci nabi Muhammad saw. sehingga sekarang dan menjaganya daripada ditokok tambah sebagaimana dia memelihara kesucian al-quran. Penjagaan ini jelas kita perhatikan melalui para muhaddis dalam meriwayatkan hadis dengan mementingkan kepada persoalan sanad atau jalan hadis sehinggakan Ibn Salam pernah berkata:

 "Sesungguh sanad itu sebahagian daripada agama, kalaulah tidak kerana adanya sanad nescaya mudahlah orang bercakap apa saja yang dia suka".

Berbagai hadis Nabi yang termaktub dalam kitab-kitab hadis pada masa kini. Asal mulanya ialah hasil kesaksian sahabat nabi terhadap sabda, perbuatan, taqrir, dan atau hal ehwal Nabi. Apa yang disaksikan oleh para sahabat itu akan terus disampaikan kepada orang lain. Orang lain yang menerima riwayat hadis itu mungkin sahaja berstatus sahabat, al-mukhadhramin atau al-tabiin. Al-mukhadramin dan al-tabiin yang menerima himpunan hadis( al kukharrij) itulah yang menjadi sumber pengetahuan dan rujukan hadis pada zaman yang berikutnya sehingga zaman sekarang.
  
            Cara periwayat memperoleh dan menyampaikan hadis pada zaman Nabi tidaklah sama dengan zaman sahabat Nabi. Begitu juga dengan periwayatan zaman sahabat tidaklah sama dengan periwayatan zaman sesudahnya. Cara periwayatan zaman Nabi telah bebas dari syarat-syarat tertentu bila dibandingkan dengan periwayatan pada zaman sesudahnya. Hal ini disebabkan, kerana pada zaman Nabi tidak ada bukti yang pasti mengenai terjadinya pemalsuan hadis kerana seseorang itu akan terus merujuk kepada Nabi sekiranya ada hadis yang diragukan kesahihannya. Semakin jauh jarak waktu dari zaman hidup Nabi, semakin sulit pengujian kesahihan sesuatu hadis.


            Dalam tugasan kali ini, insya-Allah saya akan menghuraikan mengenai sejarah perkembangan hadis pada zaman Nabi, zaman sahabat dan zaman tabiin dengan lebih lanjut  dan jelas supaya kita semua dapat menambah ilmu pengetahuan kita dengan lebih mendalam mengenai sejarah pengumpulan hadis pada zaman tersebut.


Definisi hadis (sunnah)

Hadis secara harfiah bererti perkataan atau percakapan. Dalam terminologi Islam perkataan dimaksudkan adalah perkataan dari Nabi Muhammad s.a.w. Namun sering kali kata ini mengalami perluasan makna sehingga disinonimkan dengan sunnah sehingga bererti segala perkataan (sabda), perbuatan, ketetapan mahupun persetujuan dari Nabi Muhammad s.a.w. yang dijadikan ketetapan ataupun hukum dalam agama. Hadis sebagai sumber hukum dalam agama Islam memiliki kedudukan kedua pada tingkatan sumber hukum dibawah Al Qur'an. Ibn Hajar memberi pengertian hadis iaitu apa-apa yang disandarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Menurut Ayub bin Musa al-Husaini al-Qarimi al-Kufi yang lebih dikenali sebagai Abu al-Baqa’, hadis ialah suatu istilah bercerita atau mengkhabarkan atau juga memberitahu yang disandarkan perkhabaran atau penceritaan tersebut kepada Rasulullah s.a.w. dari segi perkataan, perbuatan dan juga ikrar.(Asmawi, 2003).


Dari segi bahasa al-Sunnah bererti jalan atau cara hidup sama ada ianya terpuji mahupun tercela. Dari segi istilah ulama-ulama hadis mengatakan bahawa takrifannya adalah sama seperti al-hadis. Sunnah juga berlawanan dengan bid’ah. Imam Syatibi berkata seseorang itu dikatakan mengikuti sunnah sekiranya dia melakukan amalan yang bertepatan dengan amalan Rasul s.a.w. atau amalan yang tidak wujud pada zamannya, sahabat dan salafusolah. Sunnah juga diakui oleh jumhur ahlul hadis bahawa ianya termasuk amalan para sahabat, kerana adalah maklum bahawa sahabat sentiasa beramal bertepatan dengan sunnah Rasul s.a.w. Ini ditegaskan oleh Imam Syatibi di dalam kitabnya bahawa sunnah sahabat adalah sebahagian dari sunnah Rasul s.a.w. berdasarkan hadis yang bermaksud:

“Hendaklah kamu berpegang teguh pada sunnahku dan sunnah Khulafa’ ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk. Peganglah bersungguh-sungguh (kacip gigi geraham)”

Riwayat Abu Dawud. (Ahmad Fauzan, 2007).



SEJARAH PENGUMPULAN HADIS


Zaman Rasulullah


Hadis yang diterima pada zaman Rasulullah cepat tersebar di kalangan sahabat kerana para sahabat pada umumnya sangat berminat untuk memperolehi hadis daripada Nabi dan kemudian menyampaikannya kepada orang lain. Kebenaran penyataan ini terbukti dengan beberapa pengakuan sahabat Nabi sendiri seperti Umar bin al-Khatab yang telah membahagikan tugas dengan tetangganya untuk mencari berita yang asal daripada Nabi. Kata Umar,  sekiranya tetangganya hari ini menemui Nabi, maka pada keesokan harinya dia pergi menemui Nabi untuk memperolehi berita yang berasal atau berkenaan dengan nabi. Siapa yang bertugas menemui Nabi, maka dia segera menyampaikan berita itu kepada orang yang tidak bertugas. Oleh itu, para sahabat Nabi yang kebetulan sibuk dan tidak sempat menemui Nabi juga tetap akan memperoleh hadis dari sahabat yang sempat menjumpai Nabi.


Malik bin al-Huwayris menyatakan:

Saya( Malik bin al-Huwayris ) dalam satu rombongan kaum saya datang kepada Nabi S.A.W. Kami tinggal di sisi baginda selama dua puluh malam. Baginda adalah seorang yang penyayang dan akrab. Tatkala baginda melihat kami telah merasa rindu kepada para keluarga kami, baginda bersabda:

“kalian pulanglah, tinggallah bersama keluarga kalian, ajarlah mereka, dan lakukanlah solat bersama mereka. Bila telah masuk waktu solat, hendaklah salah seorang daripada kalian melaungkan azan, dan hendaklah yang tertua bertindak sebagai imam.”
( riwayat al-Bukhari dari Malik bin al-Huwayris)


Pengalaman Ibn al-Huwayris menunjukkan bahawa pada zaman Nabi Muhammad S.A.W, para sahabat sangat besar minatnya untuk menimba ilmu pengetahuan langsung dari Nabi. Pada zaman Rasulullah s.a.w juga, baginda sentiasa mengadakan majlis-majlis ilmu dengan tujuan mengajar Islam kepada para sahabat dan telah mendapat sambutan hangat dari para sahabat. Setiap daripada mereka sentiasa berusaha sedaya upaya menghadiri majlis-majlis ilmu itu meskipun mereka sibuk dengan urusan hidup sendiri. Malah kalau mereka tidak dapat hadir mereka berusaha mengisi pengajaran majlis berkenaan melalui sahabat yang hadir. Para sahabat biasanya bermuzakarah sesama sendiri tentang segala apa yang mereka dengar daripada Rasulullah s.a.w. Anas Ibn Malik menceritakan:

 “Sewaktu kami berada dengan Nabi s.a.w. kami mendengar hadith daripadanya. Apabila kami beralih daripadanya kami bermuzakarah sehinggalah kami menghafalnya”.

Riwayat al-Khatib al-Baghdadi.

Al-Bara’ bin ‘Azib al-Awsiy telah menyatakan:

ليس كلن كان يسمع حديث رسول الله( ص) كانت لنا ضيعة وأشغال ولكن الناس لمْ يكونوا يكذبون يومئذ فيحدث الشاهد الغائب.
Maksudnya: Tidaklah kami semuanya (dapat langsung) mendengar hadis Rasulullah S.A.W  ( kerana di antara) kami ada yang tidak memiliki waktu atau sangat sibuk. Akan tetapi ketika itu orang-orang tidak ada yang berani melakukan pendustaan (terhadap hadis Nabi) orang-orang yang hadir (menyaksikan terjadinya hadis Nabi) memberitakan ( hadis itu ) kepada orang-orang yang tidak hadir.

( Riwayat al-Ramahhurmuzi dan al-Hakim dari al-Bara’ bin ‘Azib al-Awsiy )



Pernyataan al-Bara’ ini jelas menunjukkan bahawa terdapat juga para sahabat pada zaman Rasulullah yang tidak dapat mendengar hadis melalui perantaraannya bersama Rasulullah sendiri kerana kesibukan mereka tetapi pada masa itu juga tidak wujud masalah penyelewengan hadis kerana tidak ada para sahabat yang dapat mendengar hadis daripada Rasulullah itu sendiri berani melakukan pendustaan terhadap hadis yang mereka perolehi daripada Nabi kepada orang yang tidak mendengar hadis itu daripada Rasulullah.


Disamping itu juga, para sahabat menumpukan usaha menghafal hadith-hadith secara sepenuh masa. Peristiwa-peristiwa yang dialami oleh Rasulullah S.A.W. sendiri dan dialami oleh orang-orang Islam. Selain daripada majlis-majlis ilmiah, para sahabat memperolehi hadith-hadith Rasulullah S.A.W. melalui peristiwa-peristiwa yang melibatkan baginda sendiri. Di dalam sesetengah keadaan, jumlah mereka yang mendengar hadith begitu ramai sehingga membolehkan hadith tersebar dengan mudah. Bagi jumlah sahabat yang sedikit Rasulullah S.A.W. akan meminta sahabat-sahabat tersebut memberitahu orang ramai mengenai hadith tersebut. Apabila terjadi apa-apa peristiwa terhadap masyarakat Islam pada waktu itu mereka akan bertanya Rasulullah S.A.W. tentang hukumnya.


            Minat yang besar dari para sahabat Nabi untuk menerima dan menyampaikan hadis pada zaman itu begitu menonjol disebabkan beberapa perkara seperti Allah dan RasulNya memberikan penghargaan yang tinggi kepada mereka yang berpengetahuan sebagaimana firman Allah:

ô`¨Br& uqèd ìMÏZ»s% uä!$tR#uä È@ø©9$# #YÉ`$y $VJͬ!$s%ur âxøts notÅzFy$# (#qã_ötƒur spuH÷qu ¾ÏmÎn/u 3 ö@è% ö@yd ÈqtGó¡o tûïÏ%©!$# tbqçHs>ôètƒ tûïÏ%©!$#ur Ÿw tbqßJn=ôètƒ 3 $yJ¯RÎ) ㍩.xtGtƒ (#qä9'ré& É=»t7ø9F{$# ÇÒÈ


Maksudnya: apakah kamu Hai orang musyrik yang lebih beruntung) ataukah orang yang beribadat di waktu-waktu malam dengan sujud dan berdiri, sedang ia takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah: "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.

(surah al-zumar: 9)


            Ayat ini telah banyak mendorong para sahabat untuk memperoleh pengetahuan yang banyak. Pada zaman Nabi juga, sumber pengetahuan yang sangat besar daya tarikannya bagi para sahabat ialah diri Nabi sendiri. Selain itu,masyarakat pada masa itu juga lebih cenderung mengikuti perkembangan dan tingkah laku  pemimpinnya, lebih-lebih lagi sekiranya pemimin tersebut seorang yang berjaya. Nabi Muhammad telah dinilai oleh masyarakat sebagai seorang pemimpin yang berjaya. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya tingkah-laku Nabi pada masa itu menjadi bahan cerita. Nabi Muhammad juga bukanlah sekadar seorang pemimpin mereka, tetapi baginda juga merupakan seorang utusan Allah. Keyakinan inilah yang membawa sikap ketaatan dalam diri mereka untuk mendalami ilmu pengetahuan dalam bidang hadis.


 Adalah menjadi cara hidup para sahabat pada waktu itu untuk bertanya Rasulullah s.a.w. tentang apa sahaja yang mereka musykilkan untuk dijadikan panduan dalam menyelesaikannya. (Mohd Noor Deris, 2000). Perbuatan-perbuatan Rasulullah S.A.W yang disaksikan oleh para sahabat. Para sahabat sentiasa melihat sendiri bagaimana Rasulullah S.A.W. bersolat, berpuasa, menunaikan haji, bermusafir dan apa sahaja yang dilakukan di dalam kehidupan sebagai individu, pemerintah, pentadbir dan sebagainya. Pada masa hayat Rasulullah S.A.W. sunnah terpelihara dengan baiknya di kalangan para sahabat bersama al-Quran. Mereka mengetahui sunnah yang pernah lahir dan telah menghafalnya sebaik-baiknya. Malah mereka telah mewariskan sunnah itu kepada generasi Tabi’in dengan cara yang sempurna dan meyakinkan.
Di samping itu, kebijaksanaan Nabi mengutus para sahabat ke berbagai daerah , sama ada untuk tugas khusus berdakwah mahupun untuk memangku jabatan, tidak kecil juga peranannya dalam penyebaran hadis. Berbagai peperangan yang telah dimenangi oleh Nabi dan umat Islam juga turut mempercepatkan proses penyebaran hadis pada zaman itu. Seiring dengan itu, umat Islam menyebarkan hadis ke berbagai wilayah yang telah tunduk kepada kekuasaan Islam. Penyebaran umat Islam bukan sekadar untuk mencari nafkah, melainkan juga untuk kepentingan dakwah. Dengan dakwah-dakwah itu, tersebar pulalah hadis Nabi.


            Daripada pernyataan di atas, dapatlah kita simpulkan bahawa cara Nabi menyampaikan hadisnya tidaklah terikat dengan hanya satu cara sahaja. Untuk hadis berupa sabda, Nabi menyertakan perintah kepada sahabat tertentu untuk menulisnya. Pada umumnya, Nabi tidak menyertakan menyertakan perintah tersebut. Di samping itu, adakalanya hadis dalam bentuk sabda itu dikemukakan oleh Nabi kerana sebab tertentu dan pada umumnya dikemukakan kerana tidak ada sebab tertentu. Sabda Nabi adakalanya dikemukakan di hadapan orang ramai dan ada pula yang dikemukakan di hadapan beberapa orang atau seorang sahaja.


            Demikian pula hadis yang berupa perbuatan, ada yang disampaikan oleh Nabi kerana sebab-sebab tertentu, ada yang tanpa didahului oleh sebab tertentu, ada yang disampaikan dihadapan orang ramai dan ada yang disampaikan di hadapan orang-orang tertentu sahaja. Hadis dalam bentuk taqrir pula terbatas penyampaiannya. Sebab ‘kelahiran’ taqrir Nabi berkaitan erat dengan peristiwa tertentu yang dilakukan oleh sahabat Nabi. Hadis dalam bentuk hal ehwal Nabi sesungguhnya bukanlah merupakan aktifitas Nabi kerana Nabi dalam menyampaikannya bersikap pasif sahaja. pihak yang aktif adalah para sahabat Nabi yang boleh disifatkan sebagai “perakam” terhadap hal ehwal Nabi tersebut.

            Segala ragam cara penyampaian hadis oleh Nabi tersebut telah membawa beberapa implikasi seperti perkembangan ilmu hadis dalam masyarakat masa itu, perbendaharaan dan pengetahuan para sahabat  mengenai hadis Nabi tidak sama kerana ada sahabat yang banyak mengetahui secara langsung mengenai sesuatu hadis dan ada yang sebaliknya. Jadi, para sahabat Nabi dalam periwayatan hadis ada yang berstatus sebagai saksi primer dan ada yang berstatus saksi sekunder.


            Nabi melihat bahawa minat yang besar para sahabat untuk menyebarkan hadis akan dapat menjerumuskan mereka ke arah penyampaian berita yang tidak benar. Kerana pada ghalibnya, manusia cenderung kepada sifat “menokok tambah” berita yang disampaikannya. Di samping itu, baginda bimbang para sahabat akan mengubah hadis tersebut tanpa mereka sedari lantas baginda bersabda dalam hadisnya:

كفى بالمرء كذبا أن يحدث بكل ما سمع


Maksudnya: Telah cukup seseorang itu dikatakan berdusta apabila orang itu menceritakan seluruh yang didengarnya.

(riwayat  Muslim dan al-Hakim)


            Hadis ini dan berbagai pernyataan sahabat Nabi yang semakna dengannya, dinyatakan oleh al- Nawawi ( wafat 676 H = 1277 H ) sebagai petunjuk tentang larangan menceritakan semua berita yang telah didengar. Berita yang didengar itu mungkin ada yang benar dan ada yang tidak benar. Jika semua cerita yang didengar diceritakan, bererti orang itu telah menyampaikan berita yang dusta. Dalam hal ini, al-Nawawi tidak menghubungkan maksud hadis di atas dengan hadis-hadis yang sebelumnya. Muslim dan al-Hakim telah menempatkan hadis tersebut di urutan setelah hadis-hadis yang berisi tentang ancaman siksaan api neraka terhadap orang yang sengaja membuat hadis palsu, Muslim dan al-Hakim nampaknya lebih cenderung memahami hadis di atas bukan sekadar berkaitan dengan berita pada umumnya , melainkan ada juga hubungannya dengan periwayatan hadis Nabi.


Mengikut Muhammad Yusof Musa, sebab sebenar mengapa sunnah tidak ditulis pada masa hayat Rasulullah S.A.W. ialah larangan Rasulullah s.a.w. sendiri berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al Khudri, sabda Nabi S.A.W. dengan maksudnya:

“Jangan menulis apa-apa dari saya. Sesiapa yang menulis apa-apa dari saya selain daripada al-Quran hendaklah dia padamkan”.


Abu Hurairah meriwayatkan yang bermaksud:

 ”Rasulullah s.a.w. telah keluar kepada kami pada waktu kami sedang menulis hadis-hadis. Nabi s.a.w lalu bertanya ”Apa yang kamu semua tulis ini ?”

Jawab kami:

 ‘hadis-hadis yang kami ambil dari tuan’.

Sabda Nabi s.a.w:

“Sebuah kitab yang lain dari kitabullah? Tahukah kamu bahawa sebab mengapa orang-orang terdahulu menjadi sesat ialah kerana mereka menulis kitab-kitab lain di samping Kitabullah ta’ala.”


Rasulullah pada ketika itu enggan membenarkan penulisan hadis kerana bimbang sekiranya terjadi percampuran antara al-Quran dan al-hadith dan umat Islam tidak dapat membezakan antara sumber kedua –dua sumber tersebut hingga menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam akhir zaman untuk menentukan yang mana lebih utama. Zaid bin Thabit meriwayatkan yang dinukil oleh seorang sahabat bernama Abu Sa’id al-Khudri, sabda Nabi s.a.w:


“Janganlah kamu tulis sesuatu tentangku, barang siapa yang telah menulis tentangku selain al-Quran, maka padamkanlah, ceritalah tentangku tidak mengapa tetapi sesiapa yang membuat pembohongan ke atas diriku dengan sengaja, maka tersedia tempatnya dalam neraka.”


Memang tidak dinafikan bahawa ramai di kalangan sahabat yang tidak dapat bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w. sepanjang waktu untuk menerima dan meneliti setiap perkataan dan perbuatannya. Bagaimanapun apa yang jelas larangan tersebut bukanlah dinyatakan secara tegas. Terdapat hadith-hadith yang menunjukkan sebaliknya. Abu Hurairah berkata:

Tidak ada daripada para sahabat Nabi s.a.w. yang mempunyai lebih banyak hadith daripada saya kecuali Abdullah Ibn Amr kerana dia menulis sedangkan saya tidak.


Dalam hadith lain Rafi’ bin Khudaij menyebut:

“ Kami berkata: Wahai Rasulullah s.a.w. ! Kami telah mendengar banyak perkara daripada tuan, apakah boleh kami menulisnya?

 Jawab baginda:

“Tulislah, tidak mengapa.”

(Asmawi, 2003).

Kemungkinan larangan itu bukan terhadap penulisan hadith secara umum, tetapi sebaliknya terhadap penulisan hadith bersama-sama dengan al-Quran dalam sohifah yang sama. Tujuannya ialah supaya tidak bercampur baur dengan al-Quran atau mengurangkan minat para sahabah di dalam menulis ayat-ayat al-Quran. Apabila kedudukan al-Quran dan sunnah telah jelas bagi orang Islam, penulisan hadith pun dibenarkan, terutama bagi mereka yang menghadapi masalah menghafal.


PENGUMPULAN PADA ZAMAN SAHABAT


Zaman pemerintahan saidina Abu Bakar dan Saidina Umar al- Khattab tidak menunjukkan sebarang kemajuan dalam perkembangan ilmu Hadis. Pengumpulan hadis yang dilakukan di peringkat ini iaitu pengumpulan secara hafalan sahaja. Data sejarah tentang pengumpulan hadis pada zaman khalifah Abu Bakar sangat terbatas. Ini disebabkan pada masa tersebut umat Islam berhadapan dengan berbagai ancaman dan kekacauan dan kekacauan yang membahayakan pemerintah dan negara. Jadi, periwayatan hadis masa khalifah Abu Bakar belum menonjol di kalangan umat Islam pada masa itu. Antara sebab lain yang mendorong kepada tidak berlakunya penulisan hadis ialah sikap para sahabat sendiri bimbang ianya akan menjejaskan perhatian mereka atau perhatian orang ramai terhadap al-Quran. Aisyah pernah meriwayatkan bahawa bapanya Abu Bakar al-Siddiq pernah membakar lima ratus hadis. Selain itu Khalifah Umar pernah menyarankan proses mengumpul hadis, tetapi setelah beliau beristikharah selama sebulan maka natijahnya, beliau menolak cadangan mengumpul hadis dalam bentuk penulisan ekoran daripada sikap ambil beratnya terhadap Sunah takut ianya bercampur aduk dengan kalam Allah. Percubaan Saidina Umar ini menunjukkan kepada kita bahawa pengumpulan hadis dari sudut hukum adalah harus dan beliau tidak berbuat demikian adalah kerana dikhuatiri sahabat pada waktu itu lebih tertumpu kepada Sunnah tidak kepada kitab Allah.

            Umar pula sangat berhati-hati dalam periwayatan hadis. Hal ini boleh dilihat ketika beliau mendengar hadis yang disampaikan oleh Ubai bin Kaab. Umar bersedia untuk mendengar hadis daripada Ubai bin Kaab setelah para sahabat yang lain, di antaranya Abu Dzarr menyatakan telah mendengar hadis Rasulullah tentang apa yang dikemukakan oleh Ubai itu. 

Akhirnya Umar berkata kepada Ubai:
“ Demi Allah, sungguh aku tidak menuduhmu telah berdusta. Aku berbuat demikian kerana aku ingin berhati-hati dalam periwayatan hadis nabi.
            
Apa yang dialami oleh Ubai bin Kaab itu telah dialami juga oleh Abu Musa al-Asy’ari, al-Mughirah bin syu’bah, dan lain-lain. Kesemuanya itu menunjukkan sikap hati-hati Umar dalam periwayatan hadis. Di samping itu, Umar juga menekan kepada para sahabat  agar tidak memperbanyak periwayatan hadis dalam masyarakat. Alasannya, agar masyarakat tidak terganggu konsentrasinya untuk membaca dan mendalami al-Quran.

            Abu Hurairah yang berada dikenali sebagai salah seorang yang banyak menyampaikan riwayat hadis, terpaksa menahan diri dengan tidak banyak meriwayatkan hadis pada zaman Umar. Abu Hurairah menyatakan bahawa sekiranya dia banyak meriwayatkan hadis pada zaman Umar, nescaya dia akan dicambuk oleh umar.

            Daripada pernyataan di atas, dapatlah kita simpulkan bahawa periwayatan hadis pada zaman Umar lebih banyak dilakukan oleh umat Islam berbanding pada zaman Abu Bakar. Dalam masa yang sama juga para periwayat hadis masih agak “terkekang” dalam melakukan periwayatan hadis kerana Umar telah melakukan pemeriksaan yang cukup ketat kepada para periwayat hadis.

            Secara umumnya, kebijaksanaan khalifah Uthman bin Affan tentang periwayatan hadis tidak jauh bezanya dengan apa yang telah ditempuh oleh khalifah sebelumnya. Hanya langkah uthman sahaja tidaklah setegas langkah khalifah Umar. Uthman secara peribadi tidaklah banyak meriwayatkan hadis. Ahmad bin Hanbal meriwayatkan bahawa hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Uthman sekitar empat puluh hadis sahaja. itu pun banyak matan hadis yang terulang kerana perbezaan sanad. Matan hadis yang banyak terulang itu adalah  hadis mengenai cara berwuduk.

            Dalam satu khutbah, uthman meminta kepada sahabat agar tidak banyak meriwayatkan hadis yang mereka tidak pernah dengar hadis itu pada zaman Abu Bakar dan Umar. Pernyataan ini menunjukkan pengakuan Uthman atas sikap hati-hati kedua khalifah sebelumnya. Sikap hati-hati itu juga ingin dilanjutkan pada zaman kekhalifahannya.

            Dari huraian tersebut, dapatlah kita simpulkan bahawa pada zaman uthman, kegiatan umat Islam dalam periwayatan hadis lebih banyak jika dibandingkan dengan kegiatan periwayatan hadis pada zaman khalifah sebelumnya. Uthman menyeru umat Islam dalam khutbahnya agar berhati-hati dalam meriwayatkan hadis tetapi seruan itu tidak besar pengaruhnya terhadap para periwayat tertentu yang bersifat “longgar” dalam periwayatan hadis. Hal itu terjadi kerana kerana sifat peribadi Uthman tidaklah sekeras sifat peribadi Umar, juga kerana wilayah Islam telah tersebar luas. Luasnya wilayah Islam menyebabkan semakin bertambah kesulitan pengendalian kegiatan periwayatan hadis secara ketat.

            Pada zaman khalifah Ali bin Abu Talib pula juga tidak jauh bezanya dengan zaman khalifah yang sebelumnya. Secara umumnya, Ali barulah bersedia menerima hadis Nabi setelah periwayat hadis yang bersangkutan mengucapkan sumpah bahawa hadis yang disampaikan itu benar-benar berasal daripada Nabi. Hanya kepada periwayat yang benar-benar telah dipercayainya, Ali tidak meminta periwayat hadis itu untuk bersumpah. Ali sendiri juga cukup banyak meriwayatkan hadis Nabi . Hadis yang diriwayatkannya, selain dalam bentuk lisan, dia juga meriwayatkan hadis dalam bentuk tulisan. Hadis yang berupa catatan, isinya berkisar tentang hukuman denda, pembebasan orang Islam yang ditawan orang kafir dan larangan hukum kisas terhadap orang Islam yang membunuh orang kafir. Ahmad bin Hanbal meriwayatkan bahawa Ali telah meriwayatkan lebih daripada 780 hadis. Sebahagian matan daripada hadis tersebut berulang-ulang kerana perbezaan sanadnya. Ini menunjukkan bahawa Ali merupakan periwayat yang terbanyak meriwayatkan hadis dalam Musnad Ahmad jika dibandingkan dengan khalifah sebelumnya.
            Situasi pada zaman Ali juga berbeza daripada zaman sebelumnya kerana pada zaman tersebut pertentangan politik umat Islam semakin menajam. Peperangan antara kelompok penyokong Ali dengan penyokong Muawiyah telah terjadi. Hal ini membawa kesan negatif dalam bidang periwayatan hadis dan kepentingan politik tersebut jugalah yang mendorong pihak-pihak tertentu ke arah pemalsuan hadis. Dengan demikian, tidaklah seluruh periwayat hadis itu dipercayai riwayatnya.

Oleh itu, sikap ambil berat sahabat terhadap sunnah juga dapat kita perhatikan melalui usaha para sahabat mengumpul dan memastikan kesahihan hadis sehinggakan mereka sanggup bermusafir beribu batu dengan hanya menaiki unta semata-mata untuk mencari hadis sahih sebagaimana yang berlaku ke atas Jabir bin Abdullah yang bermusafir selama sebulan ke negeri Syam, mencari dengan Abdullah bin Unais al-Ansari bagi mendapatkan hadis daripada Rasulullah saw. Begitu juga sebelum berakhirnya zaman sahabat telah kedapatan Sunnah dalam bentuk pengumpulan dan pembukuan antaranya " as-Sahiifah as-Saadiqah" oleh Abdullah bin Amru, " as-Sahiifah" oleh Jabir bin Abdullah al-Ansaari, " as-Sahiifah as-Sahiihah" oleh Hamam bin Munabbih dan " sahiifah Ali" oleh Saidina Ali. Begitulah perjalanan Sunnah pada kurun pertama.


Abu Musa al-Asy’ari meriwayatkan, melarang anaknya daripada menulis hadis kerana takut beliau tidak menulisnya dengan tepat. Dalam riwayat lain beliau disebut sebagai berkata:

“Hafallah daripada kami sebagaimana kami telah menghafalnya”


.Dipercayai banyak daripada tulisan-tulisan mengenai hadis dipadamkan atau dimusnahkan oleh penulisnya sendiri kerana takut ia akan terjatuh ke tangan orang yang tidak layak, tidak alim dan tidak tahu membezakan antara al-Quran dan hadis atau perkara-perkara lain.
Walaupun begitu peranan hadis ketika itu semain menonjol apabila sahabat menghadapi masalah untuk menyelesaikan kes-kes yang tidak dinyatakan dalam al-Quran secara khusus misalnya hak pewarisan nenek. Al-Mughirah bin Syu’bah meriwayatkan hadis bahawa dia pernah melihat Rasulullah s.a.w. memberikan satu perenam harta kepda seorang nenek. Dalam keadaan berhati-hati usaha di kalangan sahabat yang mengambil berat soal hadith tetap ada. Abu Ayub al-Ansari misalnya sanggup mengembara ke negeri Mesir menemui Uqbah bin Amir semata-mata kerana mahu mengesahkan sebuah hadis yang berbunyi:

Barang siapa yang menutup keaiban atau kesulitan seorang saudaranya yang muslim di dunia nescaya Allah akan menutup keaibannya pada hari kiamat.”


Mengikut riwayat Nafi daripada Ibnu Umar ada terdapat selambar tulisan mengenai zakat binatang peliharaan di hulu pedang Umar Ibn Khattab. Ali juga diketahui telah menggantung di pedangnya satu catatan tentang jenayah, kehormatan bumi madinah dan hukum tidak dibunuh balas orang Islam yang membunuh orang kafir. Mengikut Ibn al-Hanafiah Muhammad Ibn Ali r.a. bapanya pernah menghantar beliau untuk membawa sepucuk surat kepada Uthman yang disdalamnya mengandungi arahan-arahan Rasulullah s.a.w. tentang zakat.

Sa’d Ibn Ubbadah r.a. juga diriwayatkan memiliki beberapa buah penulisan yang mengandungi hadis-hadis Rasulullah s.a.w. sebuah lagi penulisan iaitu yang dikenali al-sahifah al-sadiqah, iaitu nama yang diberi sendiri oleh penulisnya Abdullah ibn Amru’ Ibn al-As. Ia mengandungi hadis-hadis yang diterima oleh Abdullah daripada Rasulullah s.a.w. secara berdua-duaan sahaja.

  
Perkembangan dan pengumpulan hadis yang giat dilakukan itu masih dikategorikan sebagai pengumpulan dalam dada atau hafalan walaupun sudah terdapat segelintir sahabat yang memulakan usaha mencatat hadith dengan kebenaran khas. Perhatian khulafa’ al-Rasyidin dalam memelihara hadith amat disanjung tinggi. Ketegasan mereka dalam menghalang umat Islam daripada berlakunya penyelewengan dalam meriwayatkan hadith sebenarnya tidak berniat serong tetapi semata-mata kerana menjaga dam memelihara kemuliaan serta darjat hadis Nabi Muhammad s.a.w. itu sendiri. Zaman ini dapat dianggap sebagai zaman asas kepada zaman pengumpulan dan penulisan Ilmu Hadis.


Pengumpulan pada zaman Tabiin


Peringkat ini bermula dari awal kurun ke dua hingga ke awal kurun ketiga hijrah. Pada peringkat ini boleh dikatakan ilmu hadis telah sempurna dikumpul dan dibukukan. Hal demikian memandangkan kepada beberapa faktor yang mendorong ulama supaya membukukan sunnah. Antara faktor-faktor tersebut, kurangnya daya ingatan manusia pada zaman itu tidak sebagaimana yang zaman sahabat dan taabi’iin. Ianya telah diakui oleh Imam az-Zahabi dalam kitabnya "Tazkiratul Huffaz". Begitu juga telah lahirnya ajaran sesat serta kumpulan yang telah terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar seperti Mu’tazilah, Khawarij dan lain-lain. Faktor tersebut telah mendorong Khalifah Umar bin Abdul Aziz selaku pelopor kepada pembukuan Sunnah ini, mengarahkan ulamak untuk mengumpul segala hadis dengan tujuan untuk menyelamatkan Sunnah daripada penyelewengan dan hadis-hadis Mauduk (hadis yang direka dan dinisbahkan kepada Rasul).


Begitu juga pada waktu itu telah timbulnya cabang ilmu hadis iaitu ilmu " al-Jarh wa at-Ta’diil" bagi mengkritik periwayat hadis. Hal ini penting untuk menyelamatkan Sunnah daripada tujuan buruk mereka mencipta hadis semata-mata untuk kepentingan kumpulan-kumpulan tertentu. Ulama telah mula berhati-hati didalam mengambil hadis daripada periwayat hadis dan tidak meriwayatkan hadis daripada periwayat hadis yang tidak dikenali peribadinya. Ulamak hadis telah memberikan perhatian khusus pada isi hadis dan sanadnya.

.          
Arahan pelaksanaan membukukan hadis itu dilaksanakan oleh Ibn Syihab Az-Zuhri maka disebut bahawa beliaulah yang pertama mengumpulkan hadis secara tersusun. Pada zaman khalifah Abbasiyah muncullah pula golongan ulama seperti Ibn Juraij (150 H) yang mengumpulkan hadis di Makkah, Abu Ishaq (151 H) dan Imam Malik (179 H) yang mengumpulkan hadis di Madinah, Ar-Rabi ibn Syabih (160 H) , Hammad ibn Salamah (176 H) yang mengumpulkan hadis di Basrah dan Sufyan As-Sauri (116) di Kufah serta Al-Auzaie (156 H) yang mengumpulkan di Syam dan lain-lainnya yang nyatanya kebanyakkan mereka pernah berguru kepada Ibn Hazm dan Az-Zuhri.


Manakala selain menumpukan pada usaha menghimpunkan hadis para ulamak juga mula meneliti hadis - hadis yang sampai kepada mereka dan perawi-perawi yang meriwayatkan hadis. Mereka mula meneliti siapakah perawi hadis, keadaan dan sifat peribadinya, kaedah menerima dan menyampaikan hadisnya, tarikh lahir dan kematiannya, perawi yang meriwayatkan darinya dan yang diriwayatkan olehnya dan pelbagai lagi demi menjaga kesahihan dan kebenaran hadis itu dari kepalsuan. (Emran Ibn Ahmad, 2005). Manhaj Ahlul hadith (salafus soleh) dalam mempraktikkan sunnah dalam kehidupan memastikan kesahihan riwayat .


Metodologi yang diamalkan oleh salafus solah dalam mengamalkan sunnah ialah memastikan kesahihan riwayat. Dalam mempraktikkan sunnah kita harus memastikan kesahihan hadith dengan demikian dengan yakin kita dapat mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w. Ibn Taimiyah berkata:

“Tidak boleh kita menyandarkan syariat agama ini pada hadith-hadith yang lemah (dhaif).”


Menyampaikan sunnah dan tidak memperdebatkannya. Memperdebatkan sunnah hanya akan membawa pada pertikaian yang memberi kesan terhadap sunnah nabawiyah itu sendiri. Imam Malik berkata:

“Perdebatan hanyalah akan membawa pada pertikaian dan menghilangkan cahaya ilmu dari dalam hati, serta mengeraskan hati dan melahirkan kedengkian”. Demikian pula Imam Ahmad menyatakan:”Sampaikanlah sunnah dan jangan kalian memperdebatkannya”.


Istiqamah dalam pegangan walaupun berseorangan. Mujahadah dalam menegakkan sunnah amat penting dalam kehidupan masyarakat masa kini. Masyarakat Islam, Melayu khasnya sentiasa cenderung mengikut pendapat turun temurun dari ber’itimad dan berpegang dengan sunnah Rasul s.a.w. Umat Islam perlu berpegang pada sunnah walaupun ianya dipandang serong oleh masyarakat umum.

  
KESIMPULAN


Secara kesimpulan sesungguhnya ilmu sunnah yang berkembang melalui perkembangan zaman dan diwarisi oleh ulama sebelumnya kepada ulama selepasnya menjaga keaslian sunnah Rasulullah dengan berpandukan kepada ilmu isnad dan riwayat yang dikenali sebagai ilmu rijal atau jarh wal ta’dil yang semua ini dikumpulkan dalam ilmu yang disebut mustalahah hadith.


Demikianlah sehingga terputusnya mata rantai ilmu ini pada zaman mutakhir ini apabila para ulama sudah tidak mengenal lagi riwayat yang sahih dan dhaif dan mencampur adukkan di antara hadith yang sahih dan tidak sahih dalam penulisan –penulisan mereka lalu membuat istinbat hukum dan lahirlah fiqih yang pelbagai didasari ta’asub pada mazhab dengan meninggalkan hadith dan sunnah yang sahih dan berpegang kepada hadith dhaif, maudhu’ dan mungkar.


Sesungguhnya sunnah itu terpelihara sehingga ke hari ini dalam kitab-kitab dan tulisan ulama terdahulu salaf soleh yang sampai kepada kita melalui jalan riwayat dan dipelihara di dalam naskah-naskah maktutokh (tulisan tangan) mereka dan disimpan di muzium-muzium dan perpustakaan seluruh dunia.  Sebagai panduan dan nasihat bersama kepada golongan cerdik pandai Islam hari ini yang merangkul Phd, Ma dalam ilmu sunnah dan hadith, mereka perlulah mengenepikan kedudukan dan pangkat taraf title yang mereka miliki sebaliknya perlulah menyibukkan diri dalam debu kitab dan menyemak buku-buku lama tulisan ulama salaf soleh mencari rangkaian sanad dan isnad riwayat yang terputus dan menyusun kembali penulisan para ulamak terdahulu dalam susunan terkini dan mengumpulkan kembali hadith-hadith sahih yang semakin lama semakin menghilang dan memadamkan hadith dhaif dan palsu yang bercambah dalam masyarakat.



BIBILIOGRAFI

Al-Khatib, Muhammad al-Ajjaj (1963). a l-Sunnah Qabl al-Tadwin . Mesir: Maktabah Wahbah.

Al-Khatib, Muhammad al-Ajjaj (1971). Usul al-Hadis: Ulumuhu wa Mustalahuhu , Beirut: Dar al-Fikr.

Al-Salih, Subhi (1977). Ulum al-Hadis wa Mustalahuhu , Beirut: Dar al-Ilm li al-Malayin.
Huda Mohsin (1995), Ulum al Hadis , Kuala Lumpur, DBP.

M. Syuhudi Ismail Dr. (1987). Kaedah Kesahihan Sanad Hadis , Kuala Lumpur, Thinkers Library.

Yusuf al Qaradawi, (1994). Bagaimana Berinteraksi Dengan al Sunnah , terj. Huda Mohsin, Jawiah Dakir, Petaling Jaya, ABIM.

Abdul Halim El-Mummady, 1995. Islam dan al-Hadth. Angkatan Belia Islam Malaysia.

Ahmad Fauzan Abu Muadz alfauzani bin Yahaya, 2007. Mari mengenal Ilmu Hadith. Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru.

Asmawi haji Ehsan, 2003. Ilmu Hadith, hadith sebagai sumber hukum Islam. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ariffin Omar dan Zaini Nasohah, 2005. Hadith daif ciri-ciri dan hukum. Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd.

Jawiah Dakir, 1996. Kewibawaan Al-Tafsir dan Al-Hadis. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Mohd Noor Deris, 2000. Pengajian Al-Sunnah. Akademi Islam Universiti Malaya.

Subhi Salih, 1996. Ilmu Hadith, satu pengenalan dan kajian. Dewan Bahasa dan Pustaka.

http://media.isnet.org/islam/Paramadina/Konteks/Sunnah-Nur3.html, diakses pada         30 Ogos 2010


P/S: ESAIMEN NI HAKCIPTA TERPELIHARA. DILARANG COPY AND PASTE BULAT-BULAT. BLOG INI SEKADAR UNTUK RUJUKAN BERSAMA. SEKIAN 

0 comments:

Post a Comment