topbella

Friday, December 31, 2010

PPISMP SEM 3 - PENGAJIAN ISLAM ( TAMADUN ISLAM )

Perbezaan corak pemerintahan khalifah Umar Abdul Aziz dengan Khalifah Harun al-Rasyid

Khalifah Umar Abdul Aziz dan Khalifah Harun al –Rasyid adalah merupakan contoh pemimpin yang terbaik kepada pemimpin masa kini. Kedua-duanya telah banyak memberikan sumbangan kepada Islam suatu ketika dahulu dan kedia-duanya juga mempunyai corak pemerintahannya yang tersendiri.

Antara corak pemerintahan tersebut ialah, khalifah Umar Abdul Aziz  lebih mementingkan kesejahteraan rakyat dan penyebaran Islam daripada gerakan ketenteraan. Malah, keadilan pemerintahannya disamakan dengan pemerintahan moyangnya, iaitu Khalifah Umar al-Khattab. Menurut wasiat dan peraturan yang dibuat oleh Abdul Malik, khalifah selepas Sulaiman iaitu anaknya yang ketiga, Yazid bin Abdul Malik. Namun, oleh sebab keistimewaan dan ketokohan yang ada pada Umar bin Abdul Aziz menyebabkan Sulaiman mencalonkan Umar sebagai penggantinya. Dari sudut pemerintahan Harun al-Rasyid pula, beliau seorang khalifah yang berpengalaman, adil, dan mengambil berat tentang masalah rakyat. Disebabkan kriteria tersebutlah beliau pernah dilantik oleh ayah untuk mengetuai angkatan tentera bagi menggempur tentera Rom dan menjadi Gabenor di Syam serta Afrika Utara.

Khalifah Umar Abdul Aziz juga telah melakukan beberapa perubahan dasar dalam pemerintahan Bani Umaiyah. Dasar pemerintahannya adalah berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah.  Oleh itu, beliau pernah dianggap oleh ahli-ahli sejarah sebagai Khalifah al-Rasyidin yang kelima. Khalifah harun ar-Rasyid pula dikenali sebagai tokoh negarawan terulung kerana usaha beliau dalam penyebaran ilmu pengetahuan.

Antara perubahan yang dibawa oleh khalifah Umar Abdul Aziz ialah menghilangkan amalan nepotisme iaitu perbuatan dalam pemerintahan yang mementingkan atau melebihkan sanak saudara atau kawan-kawan sendiri. Beliau tidak segan menurunkan kaum kerabatnya sendiri sekiranya memang tidak mampu menegakkan keadilan. Keadilan adalah di antara dasar pemerintahan yang akan ditugaskan dan diperjuangkan beliau menurunkan kaum kerabat Bani Umayyah yang tidak bijak memerintah dan berunsurkan tipu daya.

Al-Mas’udi meriwayatkan: “Umar Abdul Aziz adalah ahli ibadah dan tawaduk, ia memberhentikan pekerja-pekerja kaum kerabat Bani Umayyah dan menggantikannya dengan pekerja-pekerja yang lebih berkemampuan untuk bekerja”. Kemudian beliau memberikan nasihat-nasihat kepada gabenor-gabenornya. Beliau sangat mencela tindakan pegawai-pegawainya yang menyeleweng dan tidak berlaku amanah terhadap rakyatnya. Di antara ucapan beliau ialah: “Sesungguhnya kami menganggap yang lari dari kezaliman para pemimpinnya sebagai penderhaka, maka ketahuilah bahawa yang lebih patut dianggap menderhaka ialah pemimpin yang zalim. Ingatlah tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam menderhakai Allah.

Manakala Harun al-Rasyid pula mengadakan hubungan yang baik dengan kuasa-kuasa asing, antaranya kerajaan Byzantium, Perancis dan keluarga al-Barmaki. Perhubungan ini bertujuan untuk pendamaian antara kedua-dua belah pihak melalui pembayaran ufti antara Kota Baghdad dengan kerajaan Byzantium. Hubungan yang baik dengan Kristian dan Perancis adalah kerana mereka sama-sama mempunyai musuh yang sama iaitu kerajaan Bani Umayyah. Kedua-dua buah kerajaan ini sentiasa bertukar duta dan kemudiannya diikuti oleh pemimpin mereka iaitu Khalifah Harun ar-Rasyid sendiri dan Charlemange.



Corak pemerintahan seterusnya ialah khalifah Umar Abdul Aziz mengembalikan harta yang tidak sah ke dalam baitulmal. Khalifah Umar bin Abd Aziz pernah berkata yang bermaksud:

Bahawasanya saya tidak menuduh agamamu dan tidak juga amanahmu, tetapi saya mencurigai kelalaianmu dan pemborosanmu, sesungguhnya saya akan menjadi hujah kaum Muslimin dalam harta mereka, kemudian ia memerintahkan mengganti harta baitulmal yang hilang kemudian dikembalikannya semula dan ia menghibahkan dari harta persendiriannya”.

Di samping itu, Khalifah Umar Abdul Aziz juga sangat menggalakkan kegiatan keilmuan. Para ulama telah diarahkan untuk mengembangkan ilmu masing-masing dan banyak ulama mula mendapat perhatian kerajaan. Antara ilmu yang dimajukan adalah bidang kajian hadis, ilmu tatabahasa, dan ilmu perubatan. Beliau merupakan orang yang bertanggungjawab dalam mengarahkan pengumpulan pembukuan hadis.

Manakala khalifah Harun al-Rasyid pula mengambil langkah untuk membuka Baitul Hikmah iaitu institusi kebudayaan dan pusat kegiatan ilmu pengetahuan ketika pemerintahannya. Seseorang khalifah sememangnya seorang yang bijak dan berpengetahuan. Dalam mentadbir sesebuah negara, beliau harus tahu bagaimana caranya untuk mentadbir sebuah negara agar dapat menjadi sebuah negara yang aman dan makmur. Disamping itu juga, seseorang khalifah harus tahu untuk membangunkan dan memajukan negara agar menjadi sebuah negara yang maju dalam pelbagai bidang sama ada ekonomi, politik mahupun sosial. Ilmu pengetahuan sangat penting yang seharusnya ada dalam diri seorang khalifah. Beliau juga mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam mentadbir Kota Baghdad selama 23 tahun.

Kemudian, khalifah Umar Abdul Aziz juga turut memecat wali-wali yang zalim dan menggantikannya dengan yang lebih baik dalam corak pemerintahan dan pentadbirannya. Beliau berkata:

"إن إقامة الحدود عندي كإقامة الصلاة والزكاة"


Maksudnya:

Sesungguhnya mengenakan hudud disisiku adalah sama hukumnya dengan mendirikan solat dan menunaikan zakat”.

Dasar baru ini tidak membabitkan penyerahan kuasa-kuasa untuk pemerintahan pusat. Pada hakikatnya Umar bin Abdul Aziz telah menyelia segala tindakan yang dibuat oleh wali-walinya dengan cara yang tidak pernah dilakukan sebelumnya. Berbeza dengan tiga leluhur yang sebelumnya, beliau tidak lagi memerlukan wali-wali yang kuat seperti Hajjaj bin Yusuf dan Yazid. Sebaliknya beliau meminta wali-walinya supaya melaksanakan arahannya. Umar bin Abdul Aziz segera memecat gabenor-gabenor yang zalim dan amil-amil yang kejam. Dipecatnya Usamah bin Zaid, yang sebelum ini menjawat sebagai pegawai zakat di Mesir. Usamah adalah seorang yang zalim dan banyak tindakannya yang melampaui batas. Umar bin Abdul Aziz juga telah memecat Yazid bin Abu Muslim yang sebelum ini menjadi gabenor di Afrika Utara dan Salih bin Abdurrahman gabenor Iraq serta Hur bin Abdul Rahman al-Saqafi gabenor Andalus.

Demikianlah pendiriannya dalam menegakkan keadilan kepada seluruh rakyatnya dengan menjalankan hukum-hukum yang hak termasuk memecat gabenor-gabenor yang tidak berkelayakan adalah sama seperti mendirikan solat dan membayar zakat.


            Hal ini bertentangan dengan khalifah harun al-Rasyid yang yang telah membunuh wazir-wazir dan orang besarnya yang disangkakan akan mempunyai kekuasaan dan pengaruh sepertinya. Itulah sebabnya wazirnya al-Barmaki serta kaum kerabatnya dibunuhnya. Jaafar dibunuhnya, Fadhal dan ayahnya Yahya dimasukkan ke dalam penjara dan mati di sana. Setelah ahli tarikh menyebutkan sebab baginda membunuh kaum Barmaki itu ialah kerana pergaulan yang terlau bebas antara kaum wazir itu dengan kaum kerabat baginda yang perempuan sehingga terjadi pernikahan gelap antara mereka. Itulah sebab raja murka atas perbuatan tersebut. Terdapat sesetengah pihak yang menyatakan bahawa sebab baginda membunuh wazirnya kerana ingin melepaskan pengaruh orang-orang besar daripada menubuhkan kerajaan.

Dalam bidang ekonomi pula, khalifah Umar bin Abdul Aziz telah menggariskan dasar-dasar pokok pentadbiran ekonomi Negara. Beliau juga telah mengadakan beberapa reformasi dalam bidang ini dan cuba mengembalikan semula peraturan ekonomi sebagaimana di zaman Khalifah Umar al-khattab dahulu. Antara peraturan-peraturan yang diikuti oleh beliau ialah  menegah orang-orang arab memiliki tanah-tanah di negara-negara yang dibuka dan jizyah dihapuskan kepada bukan Arab selepas mereka memeluk agama Islam tetapi mereka dikenakan cukai al-Kharaj keatas tanah-tanah mereka. Di dalam usaha membersih kebatilan dan menambahkan ekonomi negara, khalifah Umar tidak bertindak kepada orang lain, kecuali selepas dilakukan keatas dirinya dahulu. Antara tindakan awal terhadap dirinya ialah beliau menjual setiap yang dimilikinya seperti kebun-kebun, kenderaan-kenderaan, barang-barang mewah, kuda-kuda, pakaian-pakaian, minyak atar, perabot-perabot dan banyak lagi barang-barang lain sehingga sampai nilainya sebanyak dua puluh tiga ribu dinar. Kesemua harta-harta itu diserahkan kepada Baitulmal. 

Manakala pertumbuhan ekonomi yang pesat juga telah banyak dibuat oleh Khalifah Harun ar-Rasyid. Malah, beliau sendiri telah menjadi simbol kemegahan Islam di Timur dan Barat. Terdapat banyak kota seperti Baghdad, Basrah, Masyul, Damsyik dan Aleppo muncul sebagai kota yang terkenal. Banyak perubahan yang dilakukan oleh beliau dalam membangunkan ekonomi dengan melakukan aktiviti perdagangan, perniagaan dan membawa pedagang-pedagang asing untuk berniaga di Kota Baghdad. Disebabkan usaha inilah, ramai pedagang-pedagang asing yang datang membawa barangan mereka untuk diniagakan di Kota Baghdad. Bahkan, bukan sahaja pedagang-pedagang asing yang datang berniaga, penduduk di Kota Bahgdad sendiri melakukan aktiviti perniagaan sesama mereka.

Khalifah Umar Abdul Aziz juga menggalakkan perkahwinan campur antara Arab dan bukan Arab bagi menjamin keamanan dan kestabilan masyarakat. Langkah ini diambil dengan tujuan untuk menghapuskan permusuhan antara kedua-dua pihak dan memujuk orang-orang bukan Islam supaya memeluk agama Islam. Hal ini menunjukkan bahawa masyarakat baru adalah berlandaskan akidah Islam dan bukan berlandaskan atau keturunan. Keadaan ini akan dapat mewujudkan persamaan hak kepada kedua-duanya (Islam dan bukan Islam) terhadap agama dan negara.

Ini berbeza dengan khalifah Harun ar-Rasyid juga turut  membuat perubahan dalam corak pemerintahan dan pentadbiran seperti  memindahkan  kuasa pentadbiran daripada orang Parsi (Baramikah) kepada orang Arab dan mengekalkan permusuhan antara kerajaan Abbasiyah dengan kaum Syiah dan sesiapa yang bersimpati dan menolong kaum Syiah akan dimusuhi. Tindakan ini diambil bagi memelihara kedaulatan pemerintahan daripada golongan-golongan yang mungkin melakukan pemberontakan ke atasnya. Demikianlah sikap berhati-hati yang diambil oleh beliau dalam corak pemerintahannya.


            Khalifah Umar Abdul Aziz juga telah menghapuskan adat mencaci Ali bin Abi Talib dalam pemerintahannya. Tindakan yang diambil itu telah menyebabkan keluarga saidina Ali dan orang-orang yang bersimpati terhadap mereka tidak lagi memusuhinya. Beliau juga berusaha memujuk orang Khawarij dan Syiah supaya menghentikan permusuhan mereka terhadap kerajaan dan keluarga Umaiyah.

            Begitu juga dengan khalifah Harun al-Rasyid yang tidak bersikap keras terhadap keturunan Ali bin Abu Talib sebagaimana nenek moyangnya. Keturunan Ali yang hidup tidak lagi diintip dengan keras ketika pemerintahannya. Begitulah sifat tindakan Harun al-Rasyid yang menyamai tindakan Umar Abdul Aziz dalam corak pemerintahan mereka.

Begitulah perbezaan corak pemerintahan antara khalifah Umar Abdul Aziz dengan khalifah Harun Al-Rasyid dalam pemerintahan mereka. Walaupun corak pemerintahan kelihatan berbeza, ianya secara tidak langsung telah memberi kesan yanb positif kepada perkembangan Islam pada zaman tersebut sehingga kini dan boleh diaplikasikan oleh pemimpin pada masa kini.

  
KEBERKESANAN PEMERINTAHAN KHALIFAH UMAR ABDUL AZIZ

Pada zaman Bani Umaiyah, zaman pemerintahan khalifah Umar Abdul Aziz adalah salah satu zaman yang dapat mengembalikan zaman kegemilangan Islam. Ini kerana beliau bijak dalam mengatur corak pemerintahan dan pentadbirannya. Pemerintahan beliau telah menunjukkan pelbagai keberkesanan dalam pentadbirannya pada waktu itu.

Pemerintahannya telah membawa keberkesanan dalam politik. Dalam bidang ini merangkumi aspek-aspek pentadbiran, dasar dalam dan luar negeri, perlantikan para pegawai dan sebagainya. Ahli-ahli sejarah bersepakat mengatakan corak pentadbiran baginda samalah seperti mana khalifah-khalifah al-Rasyidin. Bentuk atau corak pemerintahan baginda adalah berdasarkan kepada al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. Dari awal beliau dilantik, beliau telah mengadakan reformasi yang tidak terkeluar dari hakikat dan kehendak Islam yang sebenarnya. Antara reformasi itu ialah, beliau telah mengembalikan semula demokrasi al-syura mengikut Islam. Demokrasi ini telah lama hilang dan tidak dipraktikan pada masa khalifah umaiyyah kecuali di zaman Umar bin Abdul Aziz sahaja

Pada tahun pertama beliau dilantik menjadi khalifah iaitu pada tahun 99H, Khalifah Umar Abdul Aziz telah mengadakan beberapa reformasi dan rancangan-rancangan yang begitu menyeluruh dalam semua bidang. Antaranya ialah menyusun semula nama-nama para gabenor, qadhi-qadhi dan para pegawai kerajaan yang lain.


Khalifah Umar bin Abdul Aziz sangat berhati-hati semasa melantik para pegawainya. Beliau tidak taksub kepada mana-mana pihak, malah apa yang menjadi ukuran beliau ialah kelebihan yang ada pada seseorang walaupun bukan dari keluarganya, bukan sahabatnya atau bukan bangsa arab. Didalam pentadbiran negara juga, beliau akan memecat dan tidak melantik kepada mereka yang kurang berpengetahuan dalam bidang agama Islam. Khalifah Umar juga pernah mengingatkan kepada para gabenornya supaya mengambil orang-orang yang pakar tentang maksud-maksud al-Quran dalam pentadbiran negara.

Dalam usaha menjalankan reformasinya, beliau telah mengembalikan semula gereja yang telah diambil oleh khalifah-khalifah Umaiyyah yang lalu daripada orang-orang nasrani. Tujuan pengambilan itu adalah untuk diubahsuaikan bagi pembinaan masjid. Ini kerana beliau berpendapat bahawa tindakan khalifah-khalifah yang lalu adalah diluar dari kehendak Islam yang sebenarnya. Langkah seperti ini, membawa kesan yang positif terhadap orang-orang nasrani untuk mereka berfikir, membuat kajian tentang akidah Islam dan seterusnya mungkin membawa mereka menerima Islam.

Polisi luar khalifah Umar terhadap negara-negara asing, khususnya negara-negara bukan Islam, polisi beliau adalah berdasarkan kepada daulah islamiah. Inilah satu reformasi beliau terhadap dasar luar kerajaan. Khalifah-khalifah sebelumnya menggunakan polisi menyerang negara-negara asing, dalam usaha meluaskan jajahan takluk Islam serta akidahnya. Tetapi khalifah Umar tidak suka melakukan pertumpahan darah sesama manusia. Beliau lebih suka menukarkan dari cara peperangan kepada cara berdakwah. Cara ini adalah lebih berkesan dan lebih praltikal jika dibandingkan dengan khalifah-khalifah Umaiyyah sebelumnya.



Manakala keberkesanan pemerintahannya dari sudut ekonomi pula turut dicapai pada zaman pemerintahannya. Dalam bidang ini, khalifah Umar bin Abdul Aziz telah menggariskan dasar-dasar pokok pentadbiran ekonomi Negara. Beliau juga telah mengadakan beberapa reformasi dalam bidang ini dan cuba mengembalikan semula peraturan ekonomi sebagaimana di zaman Khalifah Umar al-khattab dahulu. Antara peraturan-peraturan yang diikuti oleh beliau ialah menegah orang-orang arab memiliki tanah-tanah di negara-negara yang dibuka dan jizyah dihapuskan kepada bukan Arab selepas mereka memeluk agama Islam tetapi mereka dikenakan cukai al-Kharaj keatas tanah-tanah mereka.

Pembaharuan dan polisi yang dilakukan oleh khalifah Umar bin Abdul Aziz telah memberikan suatu dasar baru kepada masyarakat. Pembaharuan berjaya menambahkan ekonomi negara dan mengembangkan akidah islamiah apabila ramai yang memeluk agama Islam. Khalifah Umar bin Abdul Aziz juga memerintahkan para gabenornya supaya menghapuskan bayaran jizyah kepada setiap orang yang memeluk Islam. Tindakan dan polisi Umar ini menyebabkan setengah gabenornya mengadu kebimbangan mereka tentang akan kurangnya harta Baitulmal. Khalifah Umar bin Abdul Aziz menjelaskan kepada mereka yang sebenarnya penghapusan jizyah itu memberi kesan dan kemenangan yang besar terhadap ekonomi dan akidah Islam. Inilah antara langkah dan reformasi yang positif yang pernah dilakukan oleh beliau. Golongan zimmah, apabila mereka menerima Islam, mereka dikenakan bayaran zakat. Ini bererti menambah wang umat Islam secara keseluruhannya. Penghapusan jizyah seolah-olah sebagai teknik untuk menarik mereka memeluk Islam.

Di dalam usaha membersih kebatilan dan menambahkan ekonomi negara, khalifah Umar tidak bertindak kepada orang lain, kecuali selepas dilakukan keatas dirinya dahulu. Antara tindakan awal terhadap dirinya ialah beliau menjual setiap yang dimilikinya seperti kebun-kebun, kenderaan-kenderaan, barang-barang mewah, kuda-kuda, pakaian-pakaian, minyak atar, perabot-perabot dan banyak lagi barang-barang lain sehingga sampai nilainya sebanyak dua puluh tiga ribu dinar. Kesemua harta-harta itu diserahkan kepada Baitulmal.

Mengikut Ibn al-Athir dan beberapa orang ahli sejarawan yang lain, mereka mengatakan bahawa perbelanjaan Khalifah Umar setiap hari hanya dua dirham sahaja. Wang atau dirham itu diambil daripada Baitulmal. Ringkasnya dalam bidang ekonomi, Khalifah Umar berjaya memberi keselesaan kepada semua rakyat. Suasana perekonomiaan negara dan harta Baitulmal adalah yang paling tinggi sekali, jika dibandingkan dengan zaman-zaman Khalifah Umaiyyah sebelumnya. Rakyat hidup dengan mewah tanpa berlaku sebarang masalah antara mereka. Masalah sosial seperti rasuah dan sebagainya dapat diatasi.

Dari aspek sosial juga, Khalifah Umar bukanlah sebagai seorang Khalifah yang hanya pandai mentadbirkan negara dan bijak menyusun program kemajuan ekonomi negara, malah baginda juga tidak lupa mengadakan reformasi dalam bidang sosial demi kebaikan umat dan agama Islam. Jalan raya, tempat persinggahan musafir, perkhidmatan pos, sekolah-sekolah, pusat pengajian tinggi, pusat kesihatan dan sebagainya diadakan di dalam negara.

Antara sumbangan Umar ibn Abd al-Aziz sepanjang tempoh perkhidmatannya di Hijaz ialah menggali telaga-telaga, membaiki jalan, memerintah dengan penuh keadilan tanpa penentangan daripada para pembangkang politik Bani Umayyah dan gabenor-gabenornya. Dia berjaya menarik hati semua golongan dan menghormati mereka. Pada zaman pemerintahan beliau, beliau telah menggariskan beberapa ciri bagi meninggikan kehidupan rakyat.

Khalifah Umar sangat mengambil berat dalam ilmu keagamaan atau kerohaniaan dan ilmu keduniaan lebih-lebih lagi ilmu kedoktoran kerana keperluan orang ramai dalam kehidupan mereka seharian, untuk menjamin kesihatan badan dan kesejahteraan iman. Pada zaman Umar lahir seorang doktor yang terkenal bernama Abdul Malik bin Abjar atau Ibn Bahr al-Kamani. Ramai lagi tokoh-tokoh dalam berbagai bidang yang lahir pada zaman Khalifah Umar hasil daripada perluasan dan pengembangan ilmu pengetahuan.
Begitulah keberkesanan pemerintahan yang telah ditunjukkan pada zaman pemerintahan khalifah Umar Abdul Aziz. Pada zaman pemerintahan beliau, Islam telah berkembang dengan baik dan membangun. Umat Islam pada masa itu juga hidup dalam keadaan aman dan harmoni.


KEBERKESANAN PEMERINTAHAN KHALIFAH HARUN AL-RASYID

Populariti daulah Abbasiyah mencapai kemuncaknya di zaman khalifah Harun al-Rasyid Rahimahullah (786-809 M).  Ini kerana keberkesanan sistem pemerintahan yang telah dilakukan oleh khalifah Harun al-Rasyid dalam pentadbirannya.

Antara keberkesanannya dari segi sosial ialah, kekayaan yang banyak dimanfaatkan Harun al-Rasyid Rahimahullah untuk keperluan sosial seperti membina rumah sakit, lembaga pendidikan doktor, dan farmasi pada zaman pemerintahannya. Keadaan tersebut telah menjadikan pembangunan dan teknologi umat Islam pada masa itu semakin maju dan berkembang.

Kemudian, pembinaan Baitulhikmah  yang merupakan sebuah institusi keilmuan yang ditubuhkan oleh khalifah Harun al- Rashid turut berkembang secara meluas dan mencapai kegemilangannya pada zaman pemerintahan Khalifah al- Makmun. Hasilnya, aktiviti penterjemahan dijalankan dengan pesat dan mencapai kemuncaknya dan kerja-kerja penterjemahan menjadi lebih sistematik. Penterjemah juga bekerja secara berkumpulan di bawah kawalan seorang penyelaras. Penterjemahan karya falsafah dan sains, khususnya daripada bahasa Yunani menjadi kegiatan utama.selain itu, ianya juga menjadi pusat pengajian yang menjadi tumpuan para ilmuwan dalam pelbagai bidang.

Keberkesanan pemerintahannya dalam bidang penulisan pula  boleh dilihat melalui tiga tahap. Tahap yang pertama ialah mencatat segala percakapan atau idea. Beliau mengumpul idea yang serupa atau mengumpul hadis Nabi Muhammad s.a.w. ke dalam sebuah buku. Tahap yang kedua pula mengarang. Terdapat golongan  ulama yang terlibat dalam penulisan pada zaman pemerintahannya. Ramai ulama menyusun hadis dan menghasilkan tulisan dalam bidang fikah, tafsir, sejarah, dan sebagainya seperti Imam Malik  menyusun buku al- Muwatta’, Ibn Ishaq  menyusun sejarah hidup Nabi Muhammad s.a.w., Abu Hanifah  menyusun fikah dan pendapat ijtihad.

Tahap ketiga pula ialah penterjemahan. Penterjemahan pada masa itu mula dibuat daripada bahasa Sanskrit, Suriani, dan Yunani kepada Bahasa Arab. Dua perkara penting berkaitan dengan penterjemahan ialah, di samping menterjemah, orang Islam mencipta dan membuat pembaharuan dalam karya yang diterjemahkan ke dalam bahasa Arab. Huraian dan penambahbaikan dibuat terhadap karya dengan memuatkan keterangan dan ulasan. Selain itu,Orang Islam berperanan penting dalam berbakti kepada kebudayaan dunia kerana mereka berjaya memelihara warisan ilmu daripada lenyap semasa masyarakat Eropah dilanda Zaman Gelap.

Penubuhan pusat pengajian tinggi dapat mempertingkatkan kegiatan penyelidikan. Hasil kajian sarjana Islam tersebar ke Eropah dan sejumlah hasil kajian diterjemahkan ke dalam bahasa asing. Perkembangan ini membawa kepada kebangkitan Eropah. Zaman pemerintahan beliau juga merupakan zaman perkembangan keilmuan Islam. Perkembangan tamadun Islam di Kota Baghdad dan Cordova memberi sumbangan yang besar kepada perkembangan keilmuan di Eropah dan perkembangan keilmuan di Eropah melahirkan zaman pemulihan budaya atau Renaissance. 

Penulisan karya dalam pelbagai bidang oleh para ilmuan Islam telah mempertingkatkan pengetahuan manusia sezaman dan meninggalkan warisan yang amat ternilai kepada generasi kemudian. Kegigihan masyarakat Islam menimba ilmu daripada pelbagai sumber asing banyak memberi faedah kepada orang Islam sendiri. Para ilmuan Islam telah memperbaiki dan meningkatkan mutu karya sehingga berlakunya percambahan dan perkembangan ilmu pengetahuan. Hasilnya, pada zaman pemerintahannya itu sudah terdapat sekitar 800 orang doktor.

Begitulah keberkesanan sistem pemerintahan yang telah berlaku pada zaman khalifah Harun al-Rasyid yang dikenali sebagai zaman keemasan Islam. Kemajuan pembangunan dan teknologi pada zaman itu seperti kesejahteraan, sosial, kesihatan, pendidikan, ilmu pengetahuan, dan kebudayaan serta kesusasteraan berada pada zaman keemasannya. Pada masa inilah negara Islam menempatkan dirinya sebagai negara terkuat dan tidak dapat ditandingi.


KESIMPULAN

Sebagai kesimpulannya, khalifah Umar bin Abdul Aziz yang terkenal dengan keadilannya telah menjadikan keadilan sebagai keutamaan pemerintahannya. Beliau mahu semua rakyat dilayan sama adil tidak mengira keturunan dan pangkat supaya keadilan dapat berjalan dengan sempurna. Dalam tempoh tersebut, kerajaan Umaiyyah semakin kuat tiada pemberontakan dalaman, kurang berlaku penyelewengan, rakyat mendapat layanan yang sewajarnya dan menjadi kaya-raya hinggakan Baitulmal penuh dengan harta zakat kerana tiada lagi orang yang mahu menerima zakat kerana kebanyakannya sudah kaya ataupun sekurang-kurangnya boleh berdikari sendiri. Semua ini adalah jasa Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang sangat masyhur, adil dan warak yang wajar menjadi contoh kepada pemerintahan zaman moden ini. Hanya dalam tempoh 2 tahun 5 bulan sahaja dapat mengubah sistem pemerintahan ke arah pemerintahan yang diredahi Allah dan menjadi contoh sepanjang zaman.

Khalifah Harun ar-Rasyid pula merupakan seorang khalifah yang begitu gigih berusaha untuk keamanan dan kemakmuran Kota Baghdad. Beliau telah berjaya mencipta kejayaan demi kejayaan dan yang paling disebut-sebut ialah sebagai Zaman Keemasan Islam. Jasa dan sumbangan beliau yang tidak terbilang ini, terutama dalam bidang ilmu pengetahuan serta perubahan-perubahan yang telah dilakukan menggambarkan bahawa beliau seorang khalifah yang amat prihatin dengan keamanan Negara yang tiada tolok bandingnya. Beliau juga disifatkan sebagai seorang pemerintah yang paling berwibawa dalam pelbagai aspek terutamanya dalam aspek pentadbiran. Peranan beliau yang paling besar ialah sebagai penaung kepada semua kegiatan ilmu pengetahuan. Baitul Hikmah merupakan hasil usahanya yang paling bermakna kerana ianya merupakan kombinasi perpustakaan, pusat akademik dan balai penterjemahan.


BIBLIOGRAFI

Awang Sariyan, 2007. Falsafah Dan Logika Melayu, Kuala Lumpur : Akademi      Pengajian Melayu.

Ensiklopedia Dunia. Jilid 22. 2005. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.

Hasyim bin Haji Musa, 2001. Falsafah, Logik, Teori Nilai Dan Etika Melayu ; Suatu Pengenalan. Kuala Lumpur : Jabatan Bahasa Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Muqaddam bin Haji Cholil.2000. Reformasi Umar bin Abdul Aziz Terhadap Khilafah      Umayyah.

Samsu Adabi Mamat, Wan Ramli Wan Muhammad, 2002. Cendekiawan Islam : Perintis Peradaban Manusia. Kuala Lumpur : Utusan Publications.

Syed Mahadzir Syed Ibrahim, 2006. Siri Cendekiawan Islam : 163 Tokoh Terkenal Islam. Ampang, Selangor : Pekan Ilmu Publicatinos.

Wan Said bin Wan Saleh.1980/1981. Umar bin Abdul Aziz. Suatu Kajian Khusus           Mengenai Polisi Pemerintahan.



P/S: ESAIMEN NI HAKCIPTA TERPELIHARA. DILARANG COPY AND PASTE BULAT-BULAT. BLOG INI SEKADAR UNTUK RUJUKAN BERSAMA. SEKIAN 

2 comments:

Anonymous said...

Salam.. sy student IPIS.. pmintaan post ini sbgai rujukan..

SaYeD ZuLHaFiZ said...

ok..sila2

Post a Comment